Sunday 21 August 2016

Hebatnya Manusia bergelar Wanita.


الدُّنْيَا مَتاَعٌ وَخَيْرُ مَتَاعِ الدُّنْيَا الْمَرْأَةُ الصَّالِحَة
“Sesungguhnya dunia itu adalah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan dunia adalah wanita solehah.” (HR. Muslim)

Apabila bercerita tentang wanita, wanita adalah sebahagian dari bangsa manusia. Ia adalah sumber kelahiran insan dibumi ini dan juga institusi pertama dalam membentuk generasi muda dan di tangan-tangan seorang wanita terletaknya masa depan sebuah bangsa. Tangan yang menghayun buaian akan menggegarkan dunia dalam mencipta sejarah. Wanita merupakan faktor utama mempengaruhi kehidupan pertama seorang lelaki. Betapa pentingnya makhluk allah ini. Betapa besar juga peranannya dan betapa berjasanya manusia yang bergelar wanita.

Sinaran Cahaya Islam.

Meneliti dan mendalami keadaan wanita di zaman jahiliyyah. Mereka suatu ketika dahulu hanyalah umpama kilang yang hebat dengan produk. Mereka adalah tempat berseronok ketika diperlukan. Tatkala habis madu sepahnya dibuang. Mereka juga terkenal dengan pembawa bala petaka sehinggakan layak untuk dibunuh. Allah S.W.T ada berfirman dalam kalam suciNya yang menceritakan keadaan masyarakat jahiliyyah khususnya wanita dalam surah An-Nahl ayat 58 dan 59

وَإِذَا بُشِّرَ أَحَدُهُمْ بِالْأُنْثَى ظَلَّ وَجْهُهُ مُسْوَدًّا وَهُوَ كَظِيمٌ (58)
(59)  يَتَوَارَى مِنَ الْقَوْمِ مِنْ سُوءِ مَا بُشِّرَ بِهِ أَيُمْسِكُهُ عَلَى هُونٍ أَمْ يَدُسُّهُ فِي التُّرَابِ أَلَا سَاءَ مَا يَحْكُمُونَ
“Dan apabila seseorang dari mereka diberi khabar dengan (kelahiran) anak perempuan, hitamlah (merah padamlah) mukanya, dan dia sangat marah. Ia menyembunyikan dirinya dari orang banyak, disebabkan buruknya berita yang disampaikan kepadanya. Apakah dia akan memeliharanya dengan menanggung kehinaan ataukah akan menguburkannya ke dalam tanah (hidup-hidup)? Ketahuilah, alangkah buruknya apa yang mereka tetapkan itu. (QS. An-Nahl : 58-59)

Namun kedatangan cahaya Islam membawa sinar harapan. Wanita ketika itu bukan lagi tempat berseronok malah menjadi rakan untuk bekerjasama menjaga kelangsungan bangsa manusia. Perbezaan semula jadi membezakan seseorang manusia, namun wanitalah insan yang mesti diberi perhatian, pendidikan dan pengawasan dengan sebaik-baiknya. 
Istimewanya wanita adalah kerana banyak nas-nas al quran dan hadith datang menceritakan tentangnya. Baik dari peringkat anak kecil mahupun diperingkat tua.

Rasulullah S.A.W ada bersabda :
“Sesiapa yang diberati menanggung sesuatu urusan menjaga dan memelihara anak-anak perempuan, lalu ia menjaga dan memeliharanya dengan baik,nescaya mereka menjadi pelindung baginya daripada api neraka.” (HR. Bukhari, Muslim dan Tirmidzi)

 Firman Allah S.W.T
وَقَضَى رَبُّكَ أَلَّا تَعْبُدُوا إِلَّا إِيَّاهُ وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا إِمَّا يَبْلُغَنَّ عِنْدَكَ الْكِبَرَ أَحَدُهُمَا أَوْ كِلَاهُمَا فَلَا تَقُلْ لَهُمَا أُفٍّ وَلَا تَنْهَرْهُمَا وَقُلْ لَهُمَا قَوْلًا كَرِيمًا (23)
(24) وَاخْفِضْ لَهُمَا جَنَاحَ الذُّلِّ مِنَ الرَّحْمَةِ وَقُلْ رَبِّ ارْحَمْهُمَا كَمَا رَبَّيَانِي صَغِيرًا
“Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik pada ibu bapakmu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu, maka sekali-kali janganlah kamu mengatakan kepada keduanya perkataan "ah" dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia. Dan rendahkanlah dirimu terhadap mereka berdua dengan penuh kesayangan dan ucapkanlah: "Wahai Tuhanku, kasihilah mereka keduanya, sebagaimana mereka berdua telah mendidik aku waktu kecil." (QS. Al-Isra: 23-24)

Jelaslah disini bahawa Islam sangat mengagung-agungkan seorang yang bergelar ibu dan apabila dikatakan dengan seorang ibu tidak lain tidak bukan ia merujuk kepada seorang wanita.

Retak Menanti Belah.

Menyelusuri perjalanan kehidupan yang semakin mencabar, wanita hari ini juga kian hilang identitinya. Malu yang menjadi pakaiannya ketika zaman kebangkitan islam kian dikoyakkan oleh teknologi yang serba canggih. Hal ini membolehkan wanita hari ini disifatkan atau disamakan dengan wanita jahiliyyah. Perkara ini sangat membimbangkan dan sangat meruncingkan kepada semua pihak secara umumnya dan kepada golongan wanita khususnya. Pelbagai bentuk peribadi dan susuk tubuh wanita yang ditayangkan di zaman ini. Antaranya wanita zina, isteri derhaka, lesbian, dan ibu yang sedia untuk membuang anak yang tidak berdosa. Masalah ini adalah ulang tayang daripada masalah-masalah lampau dan layak untuk dikatakan zaman ini adalah kembar siam bagi zaman jahiliyyah.

“Those who cannot learn from history are doomed to repeat it” (George Santayana)

Bagi mereka yang tidak belajar dari sejarah pasti akan mengulanginya. Jelaslah bahawa masyarakat hari ini kebanyakkannya tidak mempelajari sejarah sehinggakan mereka mengulangi kembali sejarah gelap zaman jahiliyyah.
            Bersama menyingkap permasalahan yang meruntuhkan moral identiti wanita islam. Mereka hari ini telah diperangi secara senyap dengan peperangan fikiran daripada boneka-boneka barat sehingga menjadikan barat sebagai kiblatnya. Disebabkan mereka telah termakan dengan makanan lazat yang disuap oleh boneka-boneka itu, mereka sanggup mempersoalkan hukum-hakam yang ditetapkan oleh syarak seperti yang telah diisukan oleh Sister-In-Islam (SIS) dalam hukum memakai tudung, harta pusaka dan sebagainya.
Ketahuilah bahawa hakikatnya, wanita telah lama mulia, hebat dan bebas merdeka seperti yang dikatakan oleh salah seorang khalifah.

 “Pada masa jahiliyah, wanita itu tak ada harganya bagi kami. Sampai akhirnya Islam datang dan menyatakan bahawa wanita itu sedarjat dengan lelaki.” (Umar Al Khattab)

Hanya gerhana bukan terbenamnya matahari.

"Agama ini sebenarnya aturan yang ditetapkan oleh Allah kepada manusia. Jika matahari mempunyai paksi dan graviti, bumi pula mempunyai paksi dan beredar diatas orbit, maka demikian jugalah manusia mempunyai agama ini.  Apabila agama hilang dari manusia, maka akan pincanglah keseimbangannya" (Ustaz Hassan Al-Hudhaibi)

            Fenomena yang berlaku hari ini bukanlah satu perkara yang perlu dibiarkan dengan begitu sahaja tanpa memberi sebarang solusi. Ia perlu disalurkan mengikut tatacara yang Islam tetapkan kerana Islam merupakan pengimbangnya. Sekiranya, wanita memandang bahawa Islam telah pergi meninggalkan dari kehidupannya, semua itu hanyalah umpama “Gerhana Bulan” yang masih mempunyai saki-baki sinaran waktu untuk menjadikan harapan penerusan hidup demi meraih perubahan. Rebutlah saki-baki yang ada sebelum terbenamnya sinaran matahari.

Buatmu Wanita

Duhai wanita, persiapkanlah dirimu dengan keimanan, keyakinan dan penyerahan diri sepenuhnya kepada Allah sebagai bekalan dalam perjuangan dan juga bekalan mendidik generasi. Perjuanganmu wanita tidak akan dijanjikan dengan sesuatu yang indah-indah dan juga tidak dihamparkan dengan permaidani merah dengan taburan bunga-bungaan tetapi penuh keperitan onak dan duri memenuhi langkah-langkah kerana kehidupan ini sementera yang kekal itu hanya di syurga. Oleh itu, persiapkan dirimu dengan iman.
Iman boleh ditingkatkan dengan amalan. Iman bertambah dengan bertambahnya amal. Oleh itu, jadikan semua aktivitimu ibadah hanya dengan niat kerana Allah dan bertepatan dengan syariat seperti mana ketika dirimu sedang memasak itu dikira ibadah, cuci pinggan juga dikatakan ibadah, menjaga anak turut sama ibadah dan banyak lagi yang boleh dirimu jadikan ibadah.

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا قُوا أَنْفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَارًا وَقُودُهَا النَّاسُ وَالْحِجَارَةُ عَلَيْهَا مَلَائِكَةٌ غِلَاظٌ شِدَادٌ لَا يَعْصُونَ اللَّهَ مَا أَمَرَهُمْ وَيَفْعَلُونَ مَا يُؤْمَرُونَ
“Artinya: Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, yang keras, yang tidak mendurhakai Allah terhadap apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan.” (QS. At-Tahrim: 6)

Perbanyakkan membaca al quran dan berusaha untuk memahami setiap kalam Allah, melazimkan bibir dengan bertasbih, bertahmid, dan bertakbir kepada Allah. Mempratikkan amalan sunnat tanpa membiarkan amalan fardhu. Akhirnya, jangan berasa lemah dan jangan berasa hina tatkala ingin berubah kerana wanita adalah yang paling mulia sekiranya beriman.

"Saudaraku,Janganlah engkau putus asa, kerana putus asa bukanlah akhlak seorang muslim. Ketahuilah bahawa kenyataan hari ini adalah cita-cita semalam, dan cita-cita hari ini adalah kenyataan hari esok. waktu masih panjang dan hasrat untuk wujudnya kedamaian masih tertanam dalam jiwa masyarakat kita, walaupun fenomena-fenomena kerosakkan dan kemaksiatan menghantui kita. Yang lemah tidak akan lemah buat selama-lamanya dan yang kuat tidak akan selamanya kuat.” (Hassan Al-Banna)


p/s :  penulisan lama untuk simpanan