الدُّنْيَا مَتاَعٌ وَخَيْرُ مَتَاعِ الدُّنْيَا الْمَرْأَةُ
الصَّالِحَة
“Sesungguhnya
dunia itu adalah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan dunia adalah wanita
solehah.” (HR. Muslim)
Apabila bercerita tentang wanita, wanita adalah sebahagian
dari bangsa manusia. Ia adalah sumber kelahiran insan dibumi ini dan juga institusi
pertama dalam membentuk generasi muda dan di tangan-tangan seorang wanita
terletaknya masa depan sebuah bangsa. Tangan yang menghayun buaian akan menggegarkan
dunia dalam mencipta sejarah. Wanita merupakan faktor utama mempengaruhi
kehidupan pertama seorang lelaki. Betapa pentingnya makhluk allah ini. Betapa
besar juga peranannya dan betapa berjasanya manusia yang bergelar wanita.
Sinaran Cahaya Islam.
Meneliti dan mendalami keadaan wanita di zaman jahiliyyah.
Mereka suatu ketika dahulu hanyalah umpama kilang yang hebat dengan produk. Mereka
adalah tempat berseronok ketika diperlukan. Tatkala habis madu sepahnya
dibuang. Mereka juga terkenal dengan pembawa bala petaka sehinggakan layak
untuk dibunuh. Allah S.W.T ada berfirman dalam kalam suciNya yang menceritakan
keadaan masyarakat jahiliyyah khususnya wanita dalam surah An-Nahl ayat 58 dan
59
وَإِذَا بُشِّرَ أَحَدُهُمْ بِالْأُنْثَى ظَلَّ
وَجْهُهُ مُسْوَدًّا وَهُوَ كَظِيمٌ (58)
(59) يَتَوَارَى مِنَ الْقَوْمِ مِنْ سُوءِ مَا
بُشِّرَ بِهِ أَيُمْسِكُهُ عَلَى هُونٍ أَمْ يَدُسُّهُ فِي التُّرَابِ أَلَا سَاءَ
مَا يَحْكُمُونَ
“Dan apabila seseorang dari mereka diberi khabar
dengan (kelahiran) anak perempuan, hitamlah (merah padamlah) mukanya, dan dia
sangat marah. Ia menyembunyikan dirinya dari orang banyak, disebabkan buruknya
berita yang disampaikan kepadanya. Apakah dia akan memeliharanya dengan
menanggung kehinaan ataukah akan menguburkannya ke dalam tanah (hidup-hidup)?
Ketahuilah, alangkah buruknya apa yang mereka tetapkan itu. (QS. An-Nahl : 58-59)
Namun kedatangan cahaya Islam membawa sinar harapan. Wanita
ketika itu bukan lagi tempat berseronok malah menjadi rakan untuk bekerjasama
menjaga kelangsungan bangsa manusia. Perbezaan semula jadi membezakan seseorang
manusia, namun wanitalah insan yang mesti diberi perhatian, pendidikan dan
pengawasan dengan sebaik-baiknya.
Istimewanya wanita adalah kerana banyak nas-nas al quran dan
hadith datang menceritakan tentangnya. Baik dari peringkat anak kecil mahupun
diperingkat tua.
Rasulullah S.A.W ada bersabda :
“Sesiapa yang diberati menanggung sesuatu
urusan menjaga dan memelihara anak-anak perempuan, lalu ia menjaga dan memeliharanya dengan baik,nescaya
mereka menjadi pelindung baginya daripada api neraka.” (HR. Bukhari,
Muslim dan Tirmidzi)
Firman Allah S.W.T
وَقَضَى رَبُّكَ
أَلَّا تَعْبُدُوا إِلَّا إِيَّاهُ وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا إِمَّا
يَبْلُغَنَّ عِنْدَكَ الْكِبَرَ أَحَدُهُمَا أَوْ كِلَاهُمَا فَلَا تَقُلْ لَهُمَا
أُفٍّ وَلَا تَنْهَرْهُمَا وَقُلْ لَهُمَا قَوْلًا كَرِيمًا (23)
(24) وَاخْفِضْ لَهُمَا
جَنَاحَ الذُّلِّ مِنَ الرَّحْمَةِ وَقُلْ رَبِّ ارْحَمْهُمَا كَمَا رَبَّيَانِي
صَغِيرًا
“Dan
Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan
hendaklah kamu berbuat baik pada ibu bapakmu dengan sebaik-baiknya. Jika salah
seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berumur lanjut dalam
pemeliharaanmu, maka sekali-kali janganlah kamu mengatakan kepada keduanya
perkataan "ah" dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah
kepada mereka perkataan yang mulia. Dan rendahkanlah dirimu terhadap mereka
berdua dengan penuh kesayangan dan ucapkanlah: "Wahai Tuhanku, kasihilah
mereka keduanya, sebagaimana mereka berdua telah mendidik aku waktu
kecil." (QS.
Al-Isra: 23-24)
Jelaslah disini bahawa Islam sangat mengagung-agungkan
seorang yang bergelar ibu dan apabila dikatakan dengan seorang ibu tidak lain
tidak bukan ia merujuk kepada seorang wanita.
Retak Menanti Belah.
Menyelusuri perjalanan kehidupan yang semakin mencabar,
wanita hari ini juga kian hilang identitinya. Malu yang menjadi pakaiannya
ketika zaman kebangkitan islam kian dikoyakkan oleh teknologi yang serba canggih.
Hal ini membolehkan wanita hari ini disifatkan atau disamakan dengan wanita
jahiliyyah. Perkara ini sangat membimbangkan dan sangat meruncingkan kepada
semua pihak secara umumnya dan kepada golongan wanita khususnya. Pelbagai
bentuk peribadi dan susuk tubuh wanita yang ditayangkan di zaman ini. Antaranya
wanita zina, isteri derhaka, lesbian, dan ibu yang sedia untuk membuang
anak yang tidak berdosa. Masalah ini adalah ulang tayang daripada
masalah-masalah lampau dan layak untuk dikatakan zaman ini adalah kembar siam
bagi zaman jahiliyyah.
“Those who cannot learn from history are doomed
to repeat it” (George Santayana)
Bagi mereka yang
tidak belajar dari sejarah pasti akan mengulanginya. Jelaslah bahawa masyarakat
hari ini kebanyakkannya tidak mempelajari sejarah sehinggakan mereka mengulangi
kembali sejarah gelap zaman jahiliyyah.
Bersama menyingkap permasalahan yang
meruntuhkan moral identiti wanita islam. Mereka hari ini telah diperangi secara
senyap dengan peperangan fikiran daripada boneka-boneka barat sehingga
menjadikan barat sebagai kiblatnya. Disebabkan mereka telah termakan dengan
makanan lazat yang disuap oleh boneka-boneka itu, mereka sanggup mempersoalkan
hukum-hakam yang ditetapkan oleh syarak seperti yang telah diisukan oleh
Sister-In-Islam (SIS) dalam hukum memakai tudung, harta pusaka dan sebagainya.
Ketahuilah bahawa hakikatnya, wanita telah lama mulia, hebat
dan bebas merdeka seperti yang dikatakan oleh salah seorang khalifah.
“Pada masa
jahiliyah, wanita itu tak ada harganya bagi kami. Sampai akhirnya Islam datang
dan menyatakan bahawa wanita itu sedarjat dengan lelaki.” (Umar Al Khattab)
Hanya gerhana bukan terbenamnya matahari.
"Agama ini sebenarnya aturan yang ditetapkan oleh Allah
kepada manusia. Jika matahari mempunyai paksi dan graviti, bumi pula
mempunyai paksi dan beredar diatas orbit, maka demikian jugalah manusia
mempunyai agama ini. Apabila agama hilang dari manusia, maka akan
pincanglah keseimbangannya" (Ustaz Hassan Al-Hudhaibi)
Fenomena yang berlaku hari ini
bukanlah satu perkara yang perlu dibiarkan dengan begitu sahaja tanpa memberi
sebarang solusi. Ia perlu disalurkan mengikut tatacara yang Islam tetapkan
kerana Islam merupakan pengimbangnya. Sekiranya,
wanita memandang bahawa Islam telah pergi meninggalkan dari kehidupannya, semua
itu hanyalah umpama “Gerhana Bulan” yang masih mempunyai saki-baki
sinaran waktu untuk menjadikan harapan penerusan hidup demi meraih perubahan. Rebutlah
saki-baki yang ada sebelum terbenamnya sinaran matahari.
Buatmu Wanita
Duhai wanita, persiapkanlah dirimu dengan keimanan, keyakinan
dan penyerahan diri sepenuhnya kepada Allah sebagai bekalan dalam perjuangan
dan juga bekalan mendidik generasi. Perjuanganmu
wanita tidak akan dijanjikan dengan sesuatu yang indah-indah dan juga tidak dihamparkan
dengan permaidani merah dengan taburan bunga-bungaan tetapi penuh keperitan
onak dan duri memenuhi langkah-langkah kerana kehidupan ini sementera yang
kekal itu hanya di syurga. Oleh itu, persiapkan dirimu dengan iman.
Iman boleh ditingkatkan dengan amalan. Iman bertambah dengan
bertambahnya amal. Oleh itu, jadikan semua aktivitimu ibadah hanya dengan niat
kerana Allah dan bertepatan dengan syariat seperti mana ketika dirimu sedang memasak
itu dikira ibadah, cuci pinggan juga dikatakan ibadah, menjaga anak turut sama ibadah
dan banyak lagi yang boleh dirimu jadikan ibadah.
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا
قُوا أَنْفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَارًا وَقُودُهَا النَّاسُ وَالْحِجَارَةُ
عَلَيْهَا مَلَائِكَةٌ غِلَاظٌ شِدَادٌ لَا يَعْصُونَ اللَّهَ مَا أَمَرَهُمْ
وَيَفْعَلُونَ مَا يُؤْمَرُونَ
“Artinya: Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan
keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya
malaikat-malaikat yang kasar, yang keras, yang tidak mendurhakai Allah terhadap
apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang
diperintahkan.” (QS. At-Tahrim: 6)
Perbanyakkan membaca al quran dan
berusaha untuk memahami setiap kalam Allah, melazimkan bibir dengan bertasbih,
bertahmid, dan bertakbir kepada Allah. Mempratikkan amalan sunnat tanpa
membiarkan amalan fardhu. Akhirnya, jangan berasa lemah dan jangan berasa hina
tatkala ingin berubah kerana wanita adalah yang paling mulia sekiranya beriman.
"Saudaraku,Janganlah engkau
putus asa, kerana putus asa bukanlah akhlak seorang muslim. Ketahuilah bahawa
kenyataan hari ini adalah cita-cita semalam, dan cita-cita hari ini adalah
kenyataan hari esok. waktu masih panjang dan hasrat untuk wujudnya kedamaian
masih tertanam dalam jiwa masyarakat kita, walaupun fenomena-fenomena
kerosakkan dan kemaksiatan menghantui kita. Yang lemah tidak akan lemah buat
selama-lamanya dan yang kuat tidak akan selamanya kuat.” (Hassan
Al-Banna)
p/s : penulisan lama untuk simpanan